Pengenalan Hospital Sipitang
PENGENALAN HOSPITAL SIPITANG
Perkhidmatan perubatan dan kesihatan di Daerah Sipitang bermula seawal tahun 70-an iaitu sebuah dispenseri. Namun ia adalah bekas rumah rehat pada zaman British Colony. Antara perkhidmatan yang diberikan ialah perkhidmatan Jabatan Pesakit Luar, Klinik Ibu & Anak dan perkhidmatan kesihatan lain seperti Kawalan Tibi dan Malaria sertadiselia oleh seorang pembantu perubatan sahaja.
Bagi perkhidmatan lain seperti pergigian pula hanya dijalankan sebagai rawatan berjadual daripada Pergigian Kawasan Beaufort termasuklah lawatan ke sekolah-sekolah rendah. Pusat Kesihatan Sipitang atau Jabatan Pesakit Luar Daerah Sipitang yangada pada masa ini hanya mula beroperasi pada tahun 1991.
--PLAN HOSPITAL SIPITANG--
LATAR BELAKANG HOSPITAL SIPITANG
Hospital Sipitang pula terletak di Jalan Mesapol-Sipitang iaitu kira-kira 2 kilometer dari pekan Sipitang. Keluasan kawasan hospital ini ialah 16.5 hektar (40.77 ekar). Hospital yang berkonsepkan Hospital Nukleus ini dibina atas idea dan saranan Tun Ghaffar Baba. Jumlah perbelanjaan awal bagi proses pembinaan awalnya ialah sebanyak RM52.5 juta.
Secara rasminya, Hospital Sipitang mula beroperasi pada 10 April 1995 dengan jumlah kakitangan pada masa itu seramai 58 orang. Hospital dirasmikan oleh Menteri Kesihatan pada 9 Mei 2005. Selain itu kemudahan sukan seperti padang bola sepak dan gelanggang bola tampar turut melengkapi senarai kemudahan yang ada.
KAPASITI PENDUDUK DAERAH
Penduduk Daerah Sipitang adalah seramai kira-kira 33,000 orang (berdasarkan Bancian Tahun 2007) yang merangkumi 3 mukim iaitu Mukim Mesapol, Mukim Sindumin dan Mukim Melamam.
Terdapat sebanyak 85 buah kampung dan penduduknya adalah terdiri daripada kaum Kedayan(majoriti sebanyak 79% daripada penduduk bumiputera), Brunei, Lundayeh, Murut, Cina dan Bisaya.

SOSIO EKONOMI PENDUDUK
Kegiatan ekonomi di daerah ini adalah tertumpu kepada pertanian dan perhutanan. Sungguhpun demikian terdapat kegiatan perkilangan yang aktif seperti Sabah Forest Industries yang merupakan satu-satunya kilang kertas di Negeri Sabah.
Tanaman utama yang diusahakan ialah getah, kelapa sawit, padi, buah-buahan dan sayur-sayuran. Manakala kegiatan perikanan menjadi sumber ekonomi bagi penduduk di kawasan pesisir pantai seperti Kg. Kuala Mengalong, Kg. Tanjung Pagar, Kg. Menangah dan Kg. Pelakat.
JALAN PERHUBUNGAN
Daerah Sipitang terletak kira-kira 144 kilometer dari Bandaraya Kota Kinabalu, 56 kilometer dari WP. Labuan dan 49 kilometer dari Daerah Beaufort, dan 54 kilometer dari Lawas (Sarawak). Bersempadan dengan Daerah Beaufort di utara, Daerah Tenom di timur dan Kalimantan (Indonesia) dan Negeri Sarawak di selatan.


